Friday, November 21, 2008

sambungan mendidik anak


Pertama tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Ajarkanlah anak-anak kita tentang menjaga kesihatan apabila ia meningkat usia 5 tahun, dari bab yang lepas-lepas telah saya senaraikan tentang pembersihan diri anak. Biasakan dengan berwuduk sebelum tidur, bersuci diri sewaktu anak masih kecil lagi adalah baik supaya kelak anak akan menjadi biasa apabila ia dewasa.

Mencuci tangan sebelum makan, membaca doa sebelum melakukan setiap perbuatan, mengajar supaya anak menghormati waktu-waktu tertentu, seperti waktu mengulang kaji, waktu bermain, waktu mandi, waktu kesekolah dan waktu tidur. Ini hanyalah ringkasan dari tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Kedua tanggungjawab terhadap ibubapa.

Anak-anak sejak dari kecil lagi harus di didik tentang tanggungjawab mereka terhadap ibubapa, tak kira ibubapa angkat atau siapapun yang membesarkan. Bukan kita dibesarkan untuk membalas jasa dengan menaburkan wang ringgit kepada ibubapa, tanggungjawab yang sebenarnya adalah dari hati nurani yang ikhlas. Kerana itulah kita harus didik anak-anak sejak dari kecil lagi tentang bersalam ketika berpergian, contoh paling mudah, ketika ke sekolah, ketika selesai sembahyang berjemaah.

Meminta izin ketika ingin keluar dari rumah dan ingin melakukan sesuatu adalah satu tanggungjawab yang patut kita amalkan sejak dari kecil pada anak-anak.

Ketiga tanggungjawab terhadap terhadap adik-beradik, kaum kerabatnya.

Ajarkan anak-anak kita sifat bertanggungjawab sesama adik beradik, walaupun dalam usia yang masih kecil, sifat ini harus di tunjukkan kepada abang atau kakak kepada adik-adiknya. Berikan tugas yang mampu dilakukan dirumah kepada si abang atau si kakak umpamanya membantu adik-adik menyiapkan kerja sekolah, menyediakan susu untuk si adik dan contohnya, jika adik dimarahi suruhlah abang atau kakak untuk memujuk adik. Dengan cara demikian akan terpupuk satu perasaan tanggungjawab pada jiwa anak ini terhadap adik beradiknya, dan suatu ketika nanti si adik akan lakukan perkara yang sama pada adik beradiknya yang lain. Apabila anak-anak bermain diluar, berikan satu tanggungjawab pada si abang atau kakak tadi untuk menjaga si adik. InshaAllah anak-anak kita akan terdidik dengan satu sifat tanggungjawab didalam jiwanya sehingga ia dewasa.

Keemapat tanggungjawab terhadap jiran tetangganya.

Walaupun siapa jiran kita dan apa agamanya, peranan kita sebagai ibubapa penting dalam mendidik anak kita tahu akan tanggungjawab terhadap jiran mereka. Ketika kecil lagi, jangan diajar anak-anak kita mempunyai sifat perkauman. Beritahulah anak-anak kita bahawa amat penting menghormati jiran tetangga kita walaupun apa agama mereka. Sebagai umat Islam haruslah kita menjadi contoh untuk anak-anak, menunjukkan sikap yang terpuji terhadap jiran kita. Sentiasa bermanis muka, bertanya khabar, dan menolong apabila diperlukan.

Kelima tanggungjawab terhadap guru.

Guru adalah orang yang mendidik kita dari kecil hingga kita menjadi manusia berguna, peranan guru samalah pentingnya seperti seorang ibu. Ajarlah anak-anak kita ada sifat tanggungjawab terhadap guru mereka, sama ada disekolah atau di Madrasah.

Sifat tanggungjawab ini termasuklah sifat menghormati guru sejak anak berumur seusia 5 tahun, iaitu waktu-waktu awal mengenal sekolah. Menghormati guru samalah seperti menghormati ibubapa kita. Ajarkan anak-anak bercakap perkataan yang mulia terhadap guru mereka, janganlah diajar anak berkata perkataan yang kasar dan biadap terhadap guru walaupun sekiranya guru tersebut melakukan kesilapan. Berbincanglah secara baik. Tegasnya kitalah yang menjadi contoh untuk anak-anak kita sendiri.

Keenam tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua didalam masyarakatnya.

Tanggungjawab terhadap warga yang lebih tua harus diberitahu pada anak-anak kita apabila anak telah mula faham dan boleh bertutur. Didiklah anak-anak kita rasa tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua, agar menghormati mereka, memberikan bantuan jika diperlukan dan rasa rendah diri walaupun mereka hanyalah seorang peminta sedekah.

Contoh berikan wang pada si anak untuk memberi sedekah kepada orang-orang tua yang sering kita lihat di ruang membeli belah atau dikaki lima masjid, orang tua yang buta penglihatan. Ajarlah anak-anak kita sifat tanggungjawab ini supaya anak-anak kita membesar menjadi seorang hamba Allah yang mulia hatinya, walaupun siapa mereka dan dari mana asal usul keturunannya, namun akhlak yang mulia itulah nanti yang akan disebut-sebut orang.

Telah menjadi kelaziman kita ibubapa, selalu melepaskan kemarahan pada anak- anak yang tidak berdosa, berkali-kali berkata tidak akan melakukan lagi, dan berulang-ulang kali akan mengulanginya. Setelah anak diherdik, dipukul, diri sendiri akan menyesal, sesudah itu penyesalan membuahkan kesalan. Tak bolehkah kita katakan pada diri kita sendiri, mereka hanya kanak-kanak, mereka nakal, mereka degil, mereka lasak itu adalah anugerah Allah? Nama mereka ialah kanak- kanak, kita sebagai orang dewasa sendiri selalu melakukan kesilapan cuma bezanya tiada siapa yang nak merotan kita, mengherdik kita, dan jika sekiranya ditegur pun kita sudah merasa jauh hati inikan pula jika diherdik atau dirotan?

Apa kata kita adakan undang-undang dirumah, siapa buat silap, siapa cakap bohong, siapa nakal akan dirotan?

Undang-undang ini bukan untuk anak-anak kita tapi untuk seluruh isi keluarga, tentu ada yang tidak setuju. tapi mahukah kita diherdik, dimarah jika kita membuat silap? bila kita tidak mengikut peraturan? Tentu kita tidak suka diperlakukan begitu, sekali lagi saya ingatkan..kasihanilah anak-anak kita, mereka menunggu kita pulang sejak dari pagi hingga ke petang, ada yang hingga ke malam, bila pulang kerumah bukan pelukkan kasih-sayang atau ciuman dari kita yang mereka dapat sebalik herdikkan dan perkataan yang menyakitkan hati yang diberi pada anak-anak itu.

Mereka hanya pinjaman untuk kita, dan mereka tidak meminta lebih dari sebuah kasih-sayang dan perhatian. Dengarlah sebentar apa yang mereka ingin perkatakan walau bagaimana penat sekalipun kita waktu pulang dari berkerja.

Pujuklah mereka dengan belaian dan pelukkan jika anak tidak mendengar kata, jika masih melakukan kesilapan untuk yang kali ketiga, maka barulah dibolehkan menghukum mereka. Hukuman memukul atau merotan anak bukanlah dengan cara mengikut perasaan marah, geram atau ingin membalas dendam atau sesuka hati, tetapi hukuman pukulan dengan tujuan pencegahan dari anak-anak melakukan kesilapan berulang-kali. Dibolehkan menyimpan rotan yang halus didalam rumah sekadar untuk memperlihatkan dan mengingatkan pada anak-anak. Maka apabila
terpandang sahaja pada rotan akan mengingatkan mereka. Bukan tujuannya untuk menakut-nakutkan mereka, sekadar mengingatkan.

SEKIAN.....

No comments:

Post a Comment