Friday, November 21, 2008

sambungan mendidik anak


Pertama tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Ajarkanlah anak-anak kita tentang menjaga kesihatan apabila ia meningkat usia 5 tahun, dari bab yang lepas-lepas telah saya senaraikan tentang pembersihan diri anak. Biasakan dengan berwuduk sebelum tidur, bersuci diri sewaktu anak masih kecil lagi adalah baik supaya kelak anak akan menjadi biasa apabila ia dewasa.

Mencuci tangan sebelum makan, membaca doa sebelum melakukan setiap perbuatan, mengajar supaya anak menghormati waktu-waktu tertentu, seperti waktu mengulang kaji, waktu bermain, waktu mandi, waktu kesekolah dan waktu tidur. Ini hanyalah ringkasan dari tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Kedua tanggungjawab terhadap ibubapa.

Anak-anak sejak dari kecil lagi harus di didik tentang tanggungjawab mereka terhadap ibubapa, tak kira ibubapa angkat atau siapapun yang membesarkan. Bukan kita dibesarkan untuk membalas jasa dengan menaburkan wang ringgit kepada ibubapa, tanggungjawab yang sebenarnya adalah dari hati nurani yang ikhlas. Kerana itulah kita harus didik anak-anak sejak dari kecil lagi tentang bersalam ketika berpergian, contoh paling mudah, ketika ke sekolah, ketika selesai sembahyang berjemaah.

Meminta izin ketika ingin keluar dari rumah dan ingin melakukan sesuatu adalah satu tanggungjawab yang patut kita amalkan sejak dari kecil pada anak-anak.

Ketiga tanggungjawab terhadap terhadap adik-beradik, kaum kerabatnya.

Ajarkan anak-anak kita sifat bertanggungjawab sesama adik beradik, walaupun dalam usia yang masih kecil, sifat ini harus di tunjukkan kepada abang atau kakak kepada adik-adiknya. Berikan tugas yang mampu dilakukan dirumah kepada si abang atau si kakak umpamanya membantu adik-adik menyiapkan kerja sekolah, menyediakan susu untuk si adik dan contohnya, jika adik dimarahi suruhlah abang atau kakak untuk memujuk adik. Dengan cara demikian akan terpupuk satu perasaan tanggungjawab pada jiwa anak ini terhadap adik beradiknya, dan suatu ketika nanti si adik akan lakukan perkara yang sama pada adik beradiknya yang lain. Apabila anak-anak bermain diluar, berikan satu tanggungjawab pada si abang atau kakak tadi untuk menjaga si adik. InshaAllah anak-anak kita akan terdidik dengan satu sifat tanggungjawab didalam jiwanya sehingga ia dewasa.

Keemapat tanggungjawab terhadap jiran tetangganya.

Walaupun siapa jiran kita dan apa agamanya, peranan kita sebagai ibubapa penting dalam mendidik anak kita tahu akan tanggungjawab terhadap jiran mereka. Ketika kecil lagi, jangan diajar anak-anak kita mempunyai sifat perkauman. Beritahulah anak-anak kita bahawa amat penting menghormati jiran tetangga kita walaupun apa agama mereka. Sebagai umat Islam haruslah kita menjadi contoh untuk anak-anak, menunjukkan sikap yang terpuji terhadap jiran kita. Sentiasa bermanis muka, bertanya khabar, dan menolong apabila diperlukan.

Kelima tanggungjawab terhadap guru.

Guru adalah orang yang mendidik kita dari kecil hingga kita menjadi manusia berguna, peranan guru samalah pentingnya seperti seorang ibu. Ajarlah anak-anak kita ada sifat tanggungjawab terhadap guru mereka, sama ada disekolah atau di Madrasah.

Sifat tanggungjawab ini termasuklah sifat menghormati guru sejak anak berumur seusia 5 tahun, iaitu waktu-waktu awal mengenal sekolah. Menghormati guru samalah seperti menghormati ibubapa kita. Ajarkan anak-anak bercakap perkataan yang mulia terhadap guru mereka, janganlah diajar anak berkata perkataan yang kasar dan biadap terhadap guru walaupun sekiranya guru tersebut melakukan kesilapan. Berbincanglah secara baik. Tegasnya kitalah yang menjadi contoh untuk anak-anak kita sendiri.

Keenam tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua didalam masyarakatnya.

Tanggungjawab terhadap warga yang lebih tua harus diberitahu pada anak-anak kita apabila anak telah mula faham dan boleh bertutur. Didiklah anak-anak kita rasa tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua, agar menghormati mereka, memberikan bantuan jika diperlukan dan rasa rendah diri walaupun mereka hanyalah seorang peminta sedekah.

Contoh berikan wang pada si anak untuk memberi sedekah kepada orang-orang tua yang sering kita lihat di ruang membeli belah atau dikaki lima masjid, orang tua yang buta penglihatan. Ajarlah anak-anak kita sifat tanggungjawab ini supaya anak-anak kita membesar menjadi seorang hamba Allah yang mulia hatinya, walaupun siapa mereka dan dari mana asal usul keturunannya, namun akhlak yang mulia itulah nanti yang akan disebut-sebut orang.

Telah menjadi kelaziman kita ibubapa, selalu melepaskan kemarahan pada anak- anak yang tidak berdosa, berkali-kali berkata tidak akan melakukan lagi, dan berulang-ulang kali akan mengulanginya. Setelah anak diherdik, dipukul, diri sendiri akan menyesal, sesudah itu penyesalan membuahkan kesalan. Tak bolehkah kita katakan pada diri kita sendiri, mereka hanya kanak-kanak, mereka nakal, mereka degil, mereka lasak itu adalah anugerah Allah? Nama mereka ialah kanak- kanak, kita sebagai orang dewasa sendiri selalu melakukan kesilapan cuma bezanya tiada siapa yang nak merotan kita, mengherdik kita, dan jika sekiranya ditegur pun kita sudah merasa jauh hati inikan pula jika diherdik atau dirotan?

Apa kata kita adakan undang-undang dirumah, siapa buat silap, siapa cakap bohong, siapa nakal akan dirotan?

Undang-undang ini bukan untuk anak-anak kita tapi untuk seluruh isi keluarga, tentu ada yang tidak setuju. tapi mahukah kita diherdik, dimarah jika kita membuat silap? bila kita tidak mengikut peraturan? Tentu kita tidak suka diperlakukan begitu, sekali lagi saya ingatkan..kasihanilah anak-anak kita, mereka menunggu kita pulang sejak dari pagi hingga ke petang, ada yang hingga ke malam, bila pulang kerumah bukan pelukkan kasih-sayang atau ciuman dari kita yang mereka dapat sebalik herdikkan dan perkataan yang menyakitkan hati yang diberi pada anak-anak itu.

Mereka hanya pinjaman untuk kita, dan mereka tidak meminta lebih dari sebuah kasih-sayang dan perhatian. Dengarlah sebentar apa yang mereka ingin perkatakan walau bagaimana penat sekalipun kita waktu pulang dari berkerja.

Pujuklah mereka dengan belaian dan pelukkan jika anak tidak mendengar kata, jika masih melakukan kesilapan untuk yang kali ketiga, maka barulah dibolehkan menghukum mereka. Hukuman memukul atau merotan anak bukanlah dengan cara mengikut perasaan marah, geram atau ingin membalas dendam atau sesuka hati, tetapi hukuman pukulan dengan tujuan pencegahan dari anak-anak melakukan kesilapan berulang-kali. Dibolehkan menyimpan rotan yang halus didalam rumah sekadar untuk memperlihatkan dan mengingatkan pada anak-anak. Maka apabila
terpandang sahaja pada rotan akan mengingatkan mereka. Bukan tujuannya untuk menakut-nakutkan mereka, sekadar mengingatkan.

SEKIAN.....
sambungan mendidik anak

Perkara penting didalam mendidik anak adalah mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan. Didalam pemerhatian dan pengawasan saya detailkan lagi kepada Pemerhatian Jasmani, Pemerhatian dalam kemasyarakatan, dan Pemerhatian dari segi rohani.

Pemerhatian dari Segi Jasmani

1. Sebagai ibubapa berilah perhatian pada si anak didalam segi nafkah yang wajib ke atasnya, seperti memberi makan yang baik, tempat tinggal yang selesa, pakaian yang sesuai, supaya si anak terpelihara dari berbagai-bagai bahaya dan dihinggapi penyakit dan wabak.

Kita sebagai pendidik harus tahu tentang hal makan minum dan tidur dalam kehidupan Islam.

Dari segi makanan, wajiblah kita perhatikan si anak memakan makanan yang berkhasiat dari minuman pula , perhatikan supaya si anak minum dua teguk dua teguk atau tiga teguk , melarangnya dari bernafas didalam bekas atau gelas ketika minum, dan melarangnya dari minum berdiri.

Dari segi tidur pula, hendaklah kita memerhatikan supaya si anak itu tidur mengiring ke kanan dan jangan membiarkan anak tidur sebaik-baik saja baru selesai dari makan.

2. Memerhatikan anak cara-cara pemeliharaan diri untuk menjaga kesihatan si anak, iaitu dengan membimbingnya supaya tidak memakan buah-buahan yang muda, memakan sayur-sayuran sebelum dicuci terlebih dahulu, ajarkan supaya si anak membasuh kedua tangan sebelum memulakan makan, tidak meniup-niup makanan di dalam pinggan.

3. Didiklah anak dengan kebiasaan bersenam dan berolaraga , bermain permainan yang membina ketangkasannya, membiasakan hidup sederhana, hidup suka berusaha dan rajin, berani, tidak terlalu tenggelam didalam kemewahan, supaya anak-anak kita kuat jasmaninya, kuat kemahuannya dan kuat semangatnya dan juga perasaannya.

Pemerhatiannya dari segi kejiwaan

1. Ibubapa yang dikasihi, pernahkah kita perhatikan pada diri anak-anak kita tentang tabiat anak kita? Jika didapati anak itu bersifat pengecut, takut atau tidak berani menghadapi sesuatu sendirian, tidak berani menghadapi cabaran, lari daripada tanggungjawab, maka wajiblah kita menambah semangatnya dari segi kepercayaan kepada diri sendiri, tidak gentar menghadapi cabaran hidup, tiupkanlah api semangat pada jiwa anak itu selalu sehingga si anak mampu menghadapi kehidupan untuk mengatasi segala macam problemnya.

Dalam hal seperti ini terlebih dahulu khususnya ibu yang sentiasa berada disisi anak sejak dari kecil lagi, janganlah menakut-nakutkan anaknya dengan bayang-bayangan, atau keadaan gelap, memomok-momokkan si anak dengan perkataan hantu, jin atau apa sahaja yang bertujuan untuk menakutkan anak, dan kelak anak akan terbiasa dengan sifat takut yang mana akan menjadi lebih buruk dan inilah yang membayangi mereka sehingga anak menjadi dewasa.

2. Pernahkah kita perhatikan anak tentang sifat merasakan dirinya serba kurang?
Jika ada ibubapa yang menghadapi masalah anak seperti ini, maka hendaklah dia segera memulihkan denga bijaksana dan nasihat-nasihat yang baik, serta cuba bersama anak apabila si anak menunjukkan sikap bermuram dan carilah sebab musabab kenapa si anak berperasaan demikian. Sifat yang demikian sebenarnya berasal dari sifat rendah diri dan kehinaan. Maka wajiblah kita menggunakan perkataan yang baik , bercakap dengan bahasa yang manis ketika memanggilnya atau berbual dengan anak tersebut.

Selalunya sifat tersebut berpunca kerana keyatiman atau ujudnya penceraian antara ibubapa. Untuk itu kita hendaklah menimbulkan didalam jiwa anak itu semangat sabar, bertahan, menggantungkan harapan pada diri sendiri. Tetapi ada juga sebabnya berpunca dari perasaan dengki dan irihati, ini adalah penyakit yang paling saya takuti dalam hidup saya, maka untuk memulihkan dari sifat ini, tunjukkanlah sifat cinta dan kasih sayang kita pada anak-anak dengan adil tanpa membezakan yang perempuan atau lelaki.

3. Pernahkah kita perhatikan anak kita yang mempunyai sifat lekas marah? Atau panas baran? Menurut kajian, sifat ini bermula dari anak usia bayi lagi. Kenapa saya katakan demikian? Anak kecil selalunya menangis kerana sesuatu sebab, kita sebagai orang dewasa telah sedia maklum kenapa anak itu menangis, kerana itu ada ibu hanya membiarkan sahaja dan menangguhkan dengan membuat kerja lain dahulu dan membiarkan untuk memujuk anak yang mungkin lapar atau tidak selesa untuk ditukar lampin basahnya. Pernahkah kita terfikir dari sikap kita itulah yang membentuk anak kita sejak dari bayi lagi menjadi seorang yang lekas marah atau pemarah?

Ada juga sifat marah itu berpunca dari kemanjaan dan kemewahan hidup, sifat marah ini boleh dibaiki dengan membiarkan anak dengan perlakuan biasa serta membiasakan si anak dengan hidup sederhana.

Pemerhatian anak dari dalam kehidupan bermasyarakat.

Pernah tak kita terfikir tentang percampuran anak-anak kita didalam masyarakat? Pernahkah kita perhatikan apa yang dibaca oleh anak-anak kita dari buku-buku, majalah-majalah, sebaran-sebaran umum. Dan seperti apa yang Adinura kaitkan Memiliki TV dirumah seumpama membiarkan anak-anak anda bermain di jalanan setiap hari baik siang mahupun malam dengan sesiapa sahaja. Yang melekakan itulah yang paling disukai termasuk kita sendiri, saya sendiri cuba untuk mengelakkan anak-anak dari TV memang sukar.! (lepas ni kena mintak petua dari Adinura) Cubalah buat sesuatu untuk luangkan masa anak-anak dari menonton TV, tak dapat tidak hadkan waktu mereka untuk menonton, banyak tugasan yang kita berikan maka kuranglah masa untuk mereka menonton TV, waktu sebelum solat magrib, ajarlah anak-anak kita hormat waktu-waktu yang dekat dengan waktu solat, jika selalunya jam 7.15 waktu solat magrib biasakan anak-anak bersiap sedia sebelumnya, membersihkan diri dan jangan sekali-kali biarkan anak-anak menonton waktu-waktu sedemikian. Saya pernah melihat ada setengah ibubapa yang tidak mengambil endah waktu-waktu sebegini, mereka juga turut bersama anak-anak menonton tv diwaktu orang melaungkan azan solat magrib.

Apa yang hendak saya katakan disini adalah berkenaan kehidupan anak-anak didalam masyarakat. Berjayakah kita sebagai ibubapa mengawal kehidupan anak kita dan membimbing mereka menghadapi masyarakat apabila mereka keluar dan menghadapi dunia luar.? Cara percampuran dengan rakan-rakan adalah salah satu kehidupan mereka dengan masyarakat, pertuturan, dan gaya berpakaian juga adalah kesan percampuran dengan masyarakat. Dari sini kitalah yang perlu tahu iaitu dengan siapa mereka berkawan dan siapa ibubapa kawan-kawan mereka. Bukanlah saya suruh selidik latar belakang keluarga rakan anak kita, kaya ke miskin ke, anak dato ke, tetapi selidiklah akhlak rakan anak kita tersebut.

Di antara pemerhatian dalam segi kemasyarakatan ini, kita sebagai ibubapa harus memerhatikan pada diri anak kita tentang :

1) Tanggungjawabnya terhadap dirinya sendiri

2) Tanggungjawabnya terhadap ibubapanya.

3) Tanggungjawabnya terhadap adik-beradiknya, kaum kerabatnya.

4) Tanggungjawabnya terhadap jirannya.

5) Tanggungjawab terhadap gurunya.

6) Tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua didalam masyarakatnya.

Kesimpulan tanggungjawab ini adalah, Adakah kita ajarkan anak-anak kita tentang saling menghormati, saling menghargai hak dan tanggungjawab itu didalam kehidupan anak-anak kita dimasa ini? Tentu ada segelintir ibubapa hanya mengharap pelajaran moral disekolah atau didikan ini tidak perlu diajar. Sejak dari kecil lagi didikan ini haruslah dimulakan. Wajiblah kita sebagai pendidik untuk anak-anak kita, menerangkan tentang kecelaan sifat cuai terhadap tanggungjawab tersebut, dan jangan lupa terangkanlah kesudahannya juga.

Thursday, November 20, 2008

sambungan mendidik anak

Sifat Mujahadah (penentangan)

1. Pendidikan dari segi kemasyarakatan untuk si anak adalah penting dalam mendidik anak-anak, hendaklah kita selalu memerhatikan pada diri anak itu tentang cara-cara dia menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang lain. Bagaimana sikapnya bila berhadapan dengan masalah lawan yang negatif, sama ada kawan, adik-beradik, gurunya atau kita sendiri sebagai ibubapa.

Wajiblah kita menerangkan tentang sifat cela yang ada pada kawan atau lawannya, terangkan tentang kesudahan perlakuan tersebut walaupun dalam usia yang masih kecil, terangkan dengan menggunakan daya kretif kita sendiri, bukanlah dengan mengajar anak supaya membalas kembali kerana dengan cara yang demikian akan meninggalkan kesan yang kurang baik dimasa hadapan, anak akan menjadi seorang pendendam, dan selalu berfikir kebenaran itu adalah dengan membalas kembali kelakuan cela tersebut.

Ajarlah anak kita dengan sikap tidak bergantung pada orang lain, perhatikan dari jauh apa perlakuan anak kita apabila berhadapan dengan lawan yang mempunyai sifat cela, dari situ kita rasa betapa sifat terpuji yang ada pada anak kita itu akan meninggalkan kesan pada ibubapa lawannya, beliau sendiri sebagai ibubapa akan merasa malu dengan sikap anaknya dan belajar dari kesilapan tersebut, jadi tak perlulah kita tanamkan sifat marah dan berdendam dan wajarlah si anak itu diteruskan dengan sifat beralah, mengalah bukanlah bermakna kita kalah. Tanamkan sifat tidak suka marah, memaafkan dan dari situlah sebenarnya kita mengajar anak kita belajar dari sifat menahan marah, itulah sifat terpuji yang ada pada junjungan kita nabi Muhammad SAW. Biasakanlah anak kita supaya dapat menahan marah ketika dia marah.

Sekali lagi saya ingin katakan teruskanlah mengajar anak tersebut dengan sifat yang baik, berikan pemerhatian pada setiap perlakuannya, mendengar dan melihat setiap tutur lakunya dari jauh antara dia dan lawannya, dan kemudian terangkan padanya jika perbuatan lawan adalah tidak baik dihadapan lawannya, tujuan kita adalah untuk memberi pendidikan pada anak bukan untuk mengajar anak kita bahawa dia adalah benar dan lawannya adalah salah, jika kita sentiasa berada dipehaknya, kelak dia akan sentiasa merasa dirinya betul disuatu ketika yang lain pula. Maka terangkanlah pada kedua belah pehak.

Sifat Nafsi ( Kejiwaan)

2. Hendaklah kita memerhatikan pada diri si anak tentang perasaan mulianya terhadap orang lain. Jika didapati suka mementingkan dirinya, hendaklah kita membimbingnya supaya melebihkan orang lain. Jika didapati anak itu suka membenci orang, hendaklah kita tanamkan didalam dirinya sifat menerima. Janganlah diajar sifat-sifat perkauman pada si anak, sifat siapa pandai, siapa bodoh, siapa cantik dan siapa hodoh. Ingatkanlah selalu padanya bahawa segala cacat cela seseorang itu bukan dari kehendak mereka, dan bukanlah disengajakan. Ajarkan sifat redha dalam diri anak kita. Jika didapati anak itu ditimpa bencana atau sesuatu yang dibencinya atau penyakit, haruslah ditanamkan kedalam jiwanya dan hatinya kepercayaan kepada redha dan qadha dan qadar. Hendaklah kita sebagai pendidik ini menimbulkan perasaan bersih dalam jiwa anak-anak itu perasaan kasih , melebihkan orang lain, mencintainya, berbelas-kasihan serta membersihkan hatinya dari sifat sombong dan iri hati.

Sifat Ruhi ( Kerohanian)

3. Ingatkanlah selalu pada anak-anak kita tentang kebesaran Allah sejak ia masih kecil lagi, perhatikan perlakuan anak dari segi hal-hal kebesaran Allah, mengingatkannya selalu bahwa, Allah SWT itu mendengarnya dan melihatnya, mengetahui segala rahsianya, yang tersembunyi dan yang akan datang. Terangkan pada anak bahawa Allah mengetahui tentang pengkhianatan mata iaitu apa yang anak lakukan dari luar pengetahuan kita, dan apa yang disembunyikan dari kita. Terangkanlah selalu bahawa Allah melihat dari segala penjuru dari langit hingga ke bumi. Hanya dengan itu anak akan merasakan dirinya terkawal ketika dia melakukan sesuatu kebaikkan atau keburukan, merasakan dirinya terkawal apabila dia berfikir. Bahkan dia akan belajar mengawal dirinya dari kemungkaran bila dewasa kelak. Bukakan pintu hati anak kita mengenal keagungan Allah meliputi
yang kecil dan besar, yang beku dan yang hidup, pada kejadian tumbuh-tumbuhan, pohon-pohonan yang cantik, bunga-bunga yang indah, manusia yang berbagai-bagai rupa dan jenis, segalanya yang ajaib itu adalah dari Allah. Itulah yang akan mengajar anak kita dan mengukuhkan sifat-sifat takwa didalam jiwanya sejak dari kecil lagi. Mengajar mereka supaya sentiasa berterima kasih pada maha Pencipta, merasa takut dan sentiasa mendekatkan diri pada Allah dan merasa rendah diri disisi Allah.

Ketiga-tiga sifat ini jika ditanamkan dalam jiwa anak-anak kita InshaAllah dia akan menjadi manusia yang lurus, seorang yang berakal dan bijaksana dalam bertindak sesuatu. Bahkan akan sentiasa mendapat penghormatan didalam hati dan mempunyai kemuliaan dan kebesaran didalam jiwanya. InshaAllah.

5 perkara yang penting telah saya kongsikan bersama.

Pada pendapat saya lima perkara didalam mendidik anak ini adalah penting, bagi yang telah lupa lima perkara tersebut adalah:

(1) Mendidik dengan cara menunjuk contoh tauladan.

(2) Mendidik dengan adat kebiasaan atau adat melayu lama.

(3) Mendidik dengan nasihat dan bimbingan.

(4) Mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan.

(5) Mendidik dengan denda dan hukuman.

Saya telahpun huraikan lima perkara diatas didalam Melentur Buluh 14. Doakan semuga saya diberi kelapangan untuk menghuraikan satu persatu lima perkara di atas ini dengan lebih detail. InshaAllah.

Perkara penting didalam mendidik anak adalah mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan. Didalam pemerhatian dan pengawasan saya detailkan lagi kepada Pemerhatian Jasmani, Pemerhatian dalam kemasyarakatan, dan Pemerhatian dari segi rohani.

Kedai Online

sambungan mendidik anak

1) Sentiasa menjadi kawan yang baik dengan anak-anak kita, mulakan sejak ia berusia awal persekolahan lagi. Jika anda seorang ibu, waktu anak berusia 5-8 tahun adalah waktu yang baik untuk memulakan persahabatan dengan mereka. Berbual dengan mereka tentang sesuatu yang mereka suka, sentiasa memuji dengan hasil kerja atau pada setiap perbincangan dengan mereka tentang sesuatu perkara.

2) Jadikan anak-anak tempat untuk anda bermanja, contohnya., walaupun anak masih kecil, selalunya dia suka bermanja dengan kita, tetapi sesekali cubalah tukar pulak, cubalah bermanja dengan mereka dengan menyuruh mereka picit kaki atau ambilkan air , dan setelah itu pujilah mereka, dengan cara itu anak akan menjadi lebih gembira melakukan sesuatu dirumah, (seharusnya ibu-ibu dirumah cuba sediakan air didalam balang plastic yang tidak membahaya untuk anak belajar menuang sendiri, dan janganlah letakkan balang biskut atau makanan kegemaran anak anda didalam balang kaca yang pada mata anda memang cantik tetapi akan melukakan si anak, dan bila balang jatuh pecah anak juga yang jadi mangsa kena marah..kesian pada anak sedangkan itu salah ibunya.)

3) Luangkan masa bersama mereka, walaupun anda penat, baru pulang dari kerja, saya faham ada ibu-ibu yang merasa marah bila pulang dari beban kerja di office terpaksa menempuh beban dirumah pula, ingatlah jika kita menganggapnya sebagai beban segala yang kita lakukan tidak mendapat keberkatan disisi Allah, be honest to yourself, buatlah dengan hati yang ikhlas, anda tidak akan merasa itu sebagai beban, setelah pulang kerumah tentu anak terasa rindu pada kita, masa itulah mereka membuat kerenah, meragam, meminta-minta, yang baik dirumah babysitter/pembantu rumah, terus aje bertukar menjadi lain bila nampak muka ibunya, itulah sebenarnya dinamakan kasih sayang, anak kecil masih mentah untuk memahami kita, janganlah terus diherdik walaupun kita penat, ingatlah kita sentiasa dalam ujian Allah swt.

4) Lakukan segalanya bersama, agar dapat mengeratkan silatulrahim, janganlah membiarkan anak-anak makan berasingan dari ibubapa, walaupun sikecil masih belum mengerti, bersolat bersama, beriadah bersama anak-anak inilah yang mengeratkan kita dengan mereka, janganlah kesal kelak dan menyalahkan anak bila mereka dewasa, jangan salahkan mereka jika suatu masa mereka merasa janggal dan malu walau untuk bersalam dan mencium tangan kita ibubapa, ada juga yang merungut dengan saya, anak mereka bila dah dewasa rasa malu bila kita memeluk dan mencium pipi mereka, itulah adalah silap kita sendiri.

5) Jika anak yang telah akhil baligh melakukan kesalahan, janganlah terus menghukum mereka, sebaliknya berbincanglah dengan mereka, bercakaplah seperti seorang sahabat menasihati sahabatnya, anak akan sedar sendiri kesalahan mereka,.tegaskan kepada mereka dan jika didapati masih melakukan kesilapan yang sama, hukumlah dengan cara yang betul.


Kesempurnaan.

Kesempurnaan hidup kita sebagai ibubapa adalah penting dalam kehidupan anak-anak kita. Kempurna yang saya maksudkan bukanlah sempurna dari segi material, sempurna yang dimaksudkan adalah sempurna sebagai hamba Allah swt. Ingatlah jika kita adalah ayah kepada anak, maka kita juga adalah imam dalam keluarga. Segala tingkah laku kita sebagai ibubapa adalah dalam perhatian anak-anak. Ini adalah salah satu didikkan dirumah yang tidak perlu diteorikan. Setiap ucapan kita adalah doa, ucapkanlah perkataan yang baik untuk darah daging kita setiap hari kerana itulah doa yang tidak kita sedari.

Doa kita sebagai ibubapa itulah yang membawa kepada kecermerlangan dan peribadi yang mulia terhadap anak-anak. Sedarkah kita setiap hari dan malam kita mendoakan untuk mereka?

Kesempurnaan ilmu dari ibubapa itulah yang menjadi bekal buat anak-anak kelak. Apabila seorang anak membuat suatu kesilapan, sebelum memarahi mereka, tanyalah diri kita sendiri, adakah kita manusia yang sempurna? Maka itulah yang saya maksudkan dengan kesempurnaan. Bagi pasangan yang ingin berumahtangga dan yang bakal menjadi ibubapa bekalkanlah diri kita dengan ilmu dalam mendidik anak secara Islam. Sempurnakanlah diri kita dahulu.,maka akan lahirlah zuriat yang sempurna kelak. Insha Allah.

Pada fikiran saya , bahawasanya jika kita sebagai ibubapa mengambil berat terhadap pendidikkan anak dengan penuh keimanan, serta dibentuk untuk mengawas diri terhadap Allah, takut kepadaNya ia akan meninggalkan kesan yang besar dalam membetulkan diri anak kita.
Kitalah orang yang bertangungjawab yang menjadi pendidik terhadap pendidikkan anak kita dari segi kepercayaannya, dan membentuknya dari segi keimanannya, sehingga anak itu membesar lurus perjalanannya, molek akhlaknya.

Saya tahu ramai ibubapa sebagai sipendidik ini tidak pernah berputus asa untuk mencari cara-cara yang paling baik untuk mendidik anak mereka. Ramai ibubapa telah berjaya dan mereka menggunakan cara yang berbeza-beza dalam mendidik, menggunakan kebijaksanaan masing-masing. Ada anak yang yang cukup dengan memberi syarat dari jauh saja, dan hatinya akan merasa gentar; ada yang cukup dengan menjeling, perasaannya akan berubah; ada yang cukup dengan menunjukkan muka yang masam, atau ada juga yang menunjukkan kemarahan yang terang-terang ada yang dengan tidak bertegur sapa. Apapun caranya yang penting ialah kita mengikut lunas-lunas yang terdapat dalam Islam, cara pendidikkan secara Islam, telah banyak kita diberi petunjuk cara untuk menghukum anak yang dibenarkan dalam Islam. Laksanakanlah ia serta buatlah pilihan yang paling sesuai di antara cara-cara tersebut.

Cara pendidikan:

1. Dengan pendidikan secara tauladan dirumah, si anak akan meniru segala kelakuan kita dirumah, dari sebaik-baik sifat sehinggalah ke sifat yang tidak baik yang ada pada diri kita sendiri.
Jika kita ibubapa yang sempurna akhlaknya dan dia nanti kelak akan meningkat dewasa kepada sifat-sifat yang baik dan mulia dari kita. Insha Allah.

2. Dengan pendidikan secara beradat, si anak akan mencapai sebaik-baik sifat, dan setinggi-tinggi contoh tauladan dalam pembentukan pendidikannya. Ini bergantung kepada cara pemerhatian kita. Seperti yang telah saya tuliskan cara mendidik anak mengikut adat melayu lama.

3. Dengan pendidikan secara nasihat dan pengajaran, si anak akan terpengaruh dengan kata-kata yang berkesan, dan nasihat yang menunjuk ajar, seperti bercerita tentang kisah-kisah tauladan atau berbual sebagai sahabat dengan cara bijak untuk menarik perhatian anak, yang mana tanpa semua ini juga perasaan si anak tidak akan lembut dan tidak akan timbul perasaan kasih-sayang mereka terhadap kita. Dan apabila tidak ada lagi kasihsayang dan belas mereka terhadap kita ibubapa maka harapan untuk memperbaikinya adalah lemah sekali.

4. Dengan pendidikan secara pemerhatian, si anak akan menjadi baik, jiwanya berkembang, dan adab serta akhlaknya akan sempurna. InshaAllah. Anak akan menjadi laksana sebiji batu-bata yang kukuh dalam masyarakat, dan salah sebuah anggota yang penting lagi berguna dalam umat Muslimat. Tanpanya si anak akan cenderung kepada seburuk-buruk akhlak, dan akan jatuh ke dalam serendah-rendah lembah, dan dialah bakal menjadi penjenayah yang amat jahat sekali dalam masyarakat. Laa haula walaa quwata illaa billaah..

Berikanlah perhatian kepada anak-anak kita sama ada diluar atau didalam rumah sejak ia berusia dari usia Tamyiz iaitu usia dari 7 - 10 tahun. Tunjuk ajar dan juahkan mereka dari perkara kemungkaran apabila ia berusia murahaqah iaitu usia antara 10 - 14 tahun. Peliharalah mereka daripada kejahatan apabila ia masih dalam usia baligh iaitu usia dari 14 - 16 tahun.

5. Dengan pendidikan secara hukuman pula, si anak akan mencegah dirinya dari melakukan dosa, berhenti dari kelakuan yang buruk dan sifat yang tercela. Dia akan mempunyai perasaan yang boleh menghalangnya daripada meneruskan perbuatan yang keji disisi Islam. Tanpanya si anak tadi akan bermaharajalela dalam perbuatan keji, dan akan mudah tergelincir ke dalam kerosakan dan kemungkaran.

Waspadalah wahai ibubapa , kita sama-sama dan benar-benar ingin melaksanakan kelima cara ini dengan baik , dan melakukannya dengan cara yang bijaksana. Andai kita ingin melihat masyarakat kita mempunyai akhlak yang mulia dan negara kita sebagai negara Islam yang maha sempurna tiadalah mustahil segalanya atas nama Allah yang Maha Besar.
Renungkanlah...

Mendidik anak untuk menjadikan yang terbaik itu bukanlah mudah, kerana itulah sejak dari rahim ibu lagi kita perlu melentur supaya bila lahir kelak akan menjadi insan yang berakhlak mulia semulia nabi kita Muhammad SAW. Umumnya, wajiblah kita berpegang teguh dengan pendidikan secara Islam.

Tuesday, November 18, 2008

sambungan Mendidik anak ...

Kecacatan fizik atau mental kanak-kanak berpunca dari kelakuan orang tuanya?

Sama ada benar atau tidak perkara diatas mari bersama saya untuk selidiki tajuk ini.Kecacatan anak sebenarnya adalah satu takdir dari Allah swt untuk menguji hambaNya, tetapi takdir itu sendiri tidak datang begitu sahaja. Dalam hal kecacatan anak, baik fizik atau mentalnya para pengkaji mendapati bahawa sebab utamanya ialah kelakuan orang tuanya sendiri. Jangan pula selepas ini ada yang menyerang saya bila saya mengatakan demikian. Saya masih waras untuk
mengatakan demikian tetapi itu hanyalah kajian para pengkaji, Allah SWt yang maha mengetahui segala yang dilangit dan dibumi dan kejadiannya adalah kehendakNya yang terbukti dengan jelas didalam surah Yassin ayat 82 yang bermaksud "Sesungguhnya keadaan kekuasaanNYA apabila IA menghendaki adanya sesuatu, hanyalah IA berfirman benda itu: "Jadilah engkau!!". Maka ia terus menjadi."

Apa yang ingin saya jelaskan disini adalah asal segala kecacatan itu adalah takdir Allah SWt dan dari kecuaian kita itu dijadikan penyebabnya. Yang pertama setelah kita di akad nikah dan elakukan hubungan jimak, si suami yang bakal menjadi bapa ketika itulah bermulanya acuannya.
Jika benar-benar mengerti dengan doa ketika berjimak dan faham yang diucapkannya, Selamatkanlah zuriat keturunannya. Disitulah awal terselitnya benih-benih yang akan disenangi atau tidak disenangi (anak-anaknya). Sebab itulah syariat telah menggariskan beberapa rukun dan syarat-syarat dan juga hukum-hakamnya berjimak dan waktu-waktunya yang merupakan larangan berjimak.

Jika dilanggar samaada seseorang tahu atau tidak, pasti akan menerima akibatnya sama ada diterima oleh perlakunya yakni orang tuanya atau anaknya kelak.

Masa yang baik bagi menurunkan zuriat (anak-anak) yang sihat mentalnya, berbudi bahasa dan taat pada ibu bapanya, orang-orang dahulu menasihatkan jika akan berjimak hendaklah memilih masa yang baik. Insha Allah diberi keturunan yang baik-baik.

Masanya ialah : Malam Isnin, Malam Selasa, Malam Khamis, Hari Khamis dan Malam Jumaat.

Masa terlarang berjimak ialah:

1. Ketika telanjang bulat yakni tidak berselimut dan masing-masing melihat kemaluan.
2. Ketika berdiri
3. Ketika orang lain mendengar suaranya
4. Beratapkan langit
5. Dihadapan anak
6. Ketika masa di antara azan dan iqamat
7. Ketika bertiup angin kencang
8. Ketika terjadi gempa bumi
9. Ketika terjadi gerhana bulan dan matahari
10.Tanpa mengambil wuduk ketika isteri hamil
11.Pada hari terakhir bulan Sya'ban
12.Pada malam 15 Sya'ban
13.Pada malam Aidil Adha
14.Pada malam Aidil Fitri
15.Pada awal jam malam
16.Di antara azan subuh dan matahari terbit
17.Pada saat-saat matahari terbenam
18.Dalam keadaan menghadap matahari
19.Ketika tidak ada air'
20.Dibawah pohon buah-buahan
21.Diatas atap sesuatu bangunan
22.Diatas kapal atau seumpamanya yang bergerak
23.Ketika berada ditempat suci
24.Ketika ikhram
25.Ketika menghadap atau membelakangi kiblat

Menurut penelitiannya, si anak akan buta hati dari ilmu-ilmu Agama, dan sangat payah menerima ajaran-ajaran yang berunsur akhlak. Rasulullah SAW. bersabda bahawa ada tiga macam balasan buruk akan segera menimpa seseorang di dunia ini, jika.

a. Semasa masih anak-anak dahulunya terlalu berani kepada orang tuanya.
b. Kejam terhadap makluk Allah.
c. Tidak tahu bersyukur pada Allah SWT.
"Orang dahulu berkata bahawa kunci dari baik buruknya anak-anak itu sangat bergantung kepada baik buruknya ibu bapa kepada orang tua-nya".

Ingatlah saudaraku sekelian bahawa , Apabila seorang hamba Allah itu meninggal dunia dan meninggalkan beberapa orang anak, maka segala amal perbuatan anak-anaknya itu akan menjadi hidangan istimewa terhadap orang tua-nya yang telah mati di alam barzah sana. Kalau
amal ibadatnya baik hidangannya berbentuk yang menyelerakan, sebaliknya kalau amalan yang dikerjakan oleh anak-anaknya itu amalan-amalan terkutuk atau terlarang sehingga menyebabkan dosa, maka hidangannya akan berbentuk yang menjijikan seperti bangkai. Ini dipertunjukkan oleh malaikat penjaga kubur pada setiap selepas waktu Asar. **

kasih sayang yang tak berbelah bagi dari ibubapa tak mencukupi andainya anak2 kita bergaul dengan orang yang tak sepatutnya. Bukanlah saya ingin menjadi pengkritik tulisan orang disini, tetapi sebenarnya., kasih sayang yang sebenarnya yang harus diberikan pada anak-anak itu lah yang akan menyelamatkan anak kita. Cuba kita semua bayangkan anak yang hidup tanpa kasih sayang. Kasih sayang yang sebenarnya bukanlah dengan memanjakan anak dan jika anak membuat kesalahan anak akan di pukul atau diherdik kerana kita merasa anak itu harus diajar dengan cara itu setelah kita memberikan kasih sayang pada mereka. Sebenarnya kita silap, telah beberapa kali saya nyatakan dalam bab yang lain bahawa, sikap kita sebagai ibubapalah yang penting dalam mendidik anak-anak kita. Ibarat kata pepatah dimana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi, begitulah dengan kita, jika kita hendakkan kuih yang cantik dan tidak cacat sudah tentu kita perlukan acuan yang cantik, jika ayah minum berdiri, usahlah diajar anak kita minum duduk kan? Disini ingin saya huraikan bahawa dengan kasih sayang yang ikhlas dan sentiasa dipupuk setiap hari Insha Allah anak kita akan merasa sedih untuk melukakan hati kita apa tah lagi untuk membuat sesuatu yang tidak baik bila dewasa kelak.