Thursday, November 20, 2008

Kedai Online
sambungan mendidik anak

1) Sentiasa menjadi kawan yang baik dengan anak-anak kita, mulakan sejak ia berusia awal persekolahan lagi. Jika anda seorang ibu, waktu anak berusia 5-8 tahun adalah waktu yang baik untuk memulakan persahabatan dengan mereka. Berbual dengan mereka tentang sesuatu yang mereka suka, sentiasa memuji dengan hasil kerja atau pada setiap perbincangan dengan mereka tentang sesuatu perkara.

2) Jadikan anak-anak tempat untuk anda bermanja, contohnya., walaupun anak masih kecil, selalunya dia suka bermanja dengan kita, tetapi sesekali cubalah tukar pulak, cubalah bermanja dengan mereka dengan menyuruh mereka picit kaki atau ambilkan air , dan setelah itu pujilah mereka, dengan cara itu anak akan menjadi lebih gembira melakukan sesuatu dirumah, (seharusnya ibu-ibu dirumah cuba sediakan air didalam balang plastic yang tidak membahaya untuk anak belajar menuang sendiri, dan janganlah letakkan balang biskut atau makanan kegemaran anak anda didalam balang kaca yang pada mata anda memang cantik tetapi akan melukakan si anak, dan bila balang jatuh pecah anak juga yang jadi mangsa kena marah..kesian pada anak sedangkan itu salah ibunya.)

3) Luangkan masa bersama mereka, walaupun anda penat, baru pulang dari kerja, saya faham ada ibu-ibu yang merasa marah bila pulang dari beban kerja di office terpaksa menempuh beban dirumah pula, ingatlah jika kita menganggapnya sebagai beban segala yang kita lakukan tidak mendapat keberkatan disisi Allah, be honest to yourself, buatlah dengan hati yang ikhlas, anda tidak akan merasa itu sebagai beban, setelah pulang kerumah tentu anak terasa rindu pada kita, masa itulah mereka membuat kerenah, meragam, meminta-minta, yang baik dirumah babysitter/pembantu rumah, terus aje bertukar menjadi lain bila nampak muka ibunya, itulah sebenarnya dinamakan kasih sayang, anak kecil masih mentah untuk memahami kita, janganlah terus diherdik walaupun kita penat, ingatlah kita sentiasa dalam ujian Allah swt.

4) Lakukan segalanya bersama, agar dapat mengeratkan silatulrahim, janganlah membiarkan anak-anak makan berasingan dari ibubapa, walaupun sikecil masih belum mengerti, bersolat bersama, beriadah bersama anak-anak inilah yang mengeratkan kita dengan mereka, janganlah kesal kelak dan menyalahkan anak bila mereka dewasa, jangan salahkan mereka jika suatu masa mereka merasa janggal dan malu walau untuk bersalam dan mencium tangan kita ibubapa, ada juga yang merungut dengan saya, anak mereka bila dah dewasa rasa malu bila kita memeluk dan mencium pipi mereka, itulah adalah silap kita sendiri.

5) Jika anak yang telah akhil baligh melakukan kesalahan, janganlah terus menghukum mereka, sebaliknya berbincanglah dengan mereka, bercakaplah seperti seorang sahabat menasihati sahabatnya, anak akan sedar sendiri kesalahan mereka,.tegaskan kepada mereka dan jika didapati masih melakukan kesilapan yang sama, hukumlah dengan cara yang betul.


Kesempurnaan.

Kesempurnaan hidup kita sebagai ibubapa adalah penting dalam kehidupan anak-anak kita. Kempurna yang saya maksudkan bukanlah sempurna dari segi material, sempurna yang dimaksudkan adalah sempurna sebagai hamba Allah swt. Ingatlah jika kita adalah ayah kepada anak, maka kita juga adalah imam dalam keluarga. Segala tingkah laku kita sebagai ibubapa adalah dalam perhatian anak-anak. Ini adalah salah satu didikkan dirumah yang tidak perlu diteorikan. Setiap ucapan kita adalah doa, ucapkanlah perkataan yang baik untuk darah daging kita setiap hari kerana itulah doa yang tidak kita sedari.

Doa kita sebagai ibubapa itulah yang membawa kepada kecermerlangan dan peribadi yang mulia terhadap anak-anak. Sedarkah kita setiap hari dan malam kita mendoakan untuk mereka?

Kesempurnaan ilmu dari ibubapa itulah yang menjadi bekal buat anak-anak kelak. Apabila seorang anak membuat suatu kesilapan, sebelum memarahi mereka, tanyalah diri kita sendiri, adakah kita manusia yang sempurna? Maka itulah yang saya maksudkan dengan kesempurnaan. Bagi pasangan yang ingin berumahtangga dan yang bakal menjadi ibubapa bekalkanlah diri kita dengan ilmu dalam mendidik anak secara Islam. Sempurnakanlah diri kita dahulu.,maka akan lahirlah zuriat yang sempurna kelak. Insha Allah.

Pada fikiran saya , bahawasanya jika kita sebagai ibubapa mengambil berat terhadap pendidikkan anak dengan penuh keimanan, serta dibentuk untuk mengawas diri terhadap Allah, takut kepadaNya ia akan meninggalkan kesan yang besar dalam membetulkan diri anak kita.
Kitalah orang yang bertangungjawab yang menjadi pendidik terhadap pendidikkan anak kita dari segi kepercayaannya, dan membentuknya dari segi keimanannya, sehingga anak itu membesar lurus perjalanannya, molek akhlaknya.

Saya tahu ramai ibubapa sebagai sipendidik ini tidak pernah berputus asa untuk mencari cara-cara yang paling baik untuk mendidik anak mereka. Ramai ibubapa telah berjaya dan mereka menggunakan cara yang berbeza-beza dalam mendidik, menggunakan kebijaksanaan masing-masing. Ada anak yang yang cukup dengan memberi syarat dari jauh saja, dan hatinya akan merasa gentar; ada yang cukup dengan menjeling, perasaannya akan berubah; ada yang cukup dengan menunjukkan muka yang masam, atau ada juga yang menunjukkan kemarahan yang terang-terang ada yang dengan tidak bertegur sapa. Apapun caranya yang penting ialah kita mengikut lunas-lunas yang terdapat dalam Islam, cara pendidikkan secara Islam, telah banyak kita diberi petunjuk cara untuk menghukum anak yang dibenarkan dalam Islam. Laksanakanlah ia serta buatlah pilihan yang paling sesuai di antara cara-cara tersebut.

Cara pendidikan:

1. Dengan pendidikan secara tauladan dirumah, si anak akan meniru segala kelakuan kita dirumah, dari sebaik-baik sifat sehinggalah ke sifat yang tidak baik yang ada pada diri kita sendiri.
Jika kita ibubapa yang sempurna akhlaknya dan dia nanti kelak akan meningkat dewasa kepada sifat-sifat yang baik dan mulia dari kita. Insha Allah.

2. Dengan pendidikan secara beradat, si anak akan mencapai sebaik-baik sifat, dan setinggi-tinggi contoh tauladan dalam pembentukan pendidikannya. Ini bergantung kepada cara pemerhatian kita. Seperti yang telah saya tuliskan cara mendidik anak mengikut adat melayu lama.

3. Dengan pendidikan secara nasihat dan pengajaran, si anak akan terpengaruh dengan kata-kata yang berkesan, dan nasihat yang menunjuk ajar, seperti bercerita tentang kisah-kisah tauladan atau berbual sebagai sahabat dengan cara bijak untuk menarik perhatian anak, yang mana tanpa semua ini juga perasaan si anak tidak akan lembut dan tidak akan timbul perasaan kasih-sayang mereka terhadap kita. Dan apabila tidak ada lagi kasihsayang dan belas mereka terhadap kita ibubapa maka harapan untuk memperbaikinya adalah lemah sekali.

4. Dengan pendidikan secara pemerhatian, si anak akan menjadi baik, jiwanya berkembang, dan adab serta akhlaknya akan sempurna. InshaAllah. Anak akan menjadi laksana sebiji batu-bata yang kukuh dalam masyarakat, dan salah sebuah anggota yang penting lagi berguna dalam umat Muslimat. Tanpanya si anak akan cenderung kepada seburuk-buruk akhlak, dan akan jatuh ke dalam serendah-rendah lembah, dan dialah bakal menjadi penjenayah yang amat jahat sekali dalam masyarakat. Laa haula walaa quwata illaa billaah..

Berikanlah perhatian kepada anak-anak kita sama ada diluar atau didalam rumah sejak ia berusia dari usia Tamyiz iaitu usia dari 7 - 10 tahun. Tunjuk ajar dan juahkan mereka dari perkara kemungkaran apabila ia berusia murahaqah iaitu usia antara 10 - 14 tahun. Peliharalah mereka daripada kejahatan apabila ia masih dalam usia baligh iaitu usia dari 14 - 16 tahun.

5. Dengan pendidikan secara hukuman pula, si anak akan mencegah dirinya dari melakukan dosa, berhenti dari kelakuan yang buruk dan sifat yang tercela. Dia akan mempunyai perasaan yang boleh menghalangnya daripada meneruskan perbuatan yang keji disisi Islam. Tanpanya si anak tadi akan bermaharajalela dalam perbuatan keji, dan akan mudah tergelincir ke dalam kerosakan dan kemungkaran.

Waspadalah wahai ibubapa , kita sama-sama dan benar-benar ingin melaksanakan kelima cara ini dengan baik , dan melakukannya dengan cara yang bijaksana. Andai kita ingin melihat masyarakat kita mempunyai akhlak yang mulia dan negara kita sebagai negara Islam yang maha sempurna tiadalah mustahil segalanya atas nama Allah yang Maha Besar.
Renungkanlah...

Mendidik anak untuk menjadikan yang terbaik itu bukanlah mudah, kerana itulah sejak dari rahim ibu lagi kita perlu melentur supaya bila lahir kelak akan menjadi insan yang berakhlak mulia semulia nabi kita Muhammad SAW. Umumnya, wajiblah kita berpegang teguh dengan pendidikan secara Islam.

No comments:

Post a Comment