Thursday, November 20, 2008

sambungan mendidik anak

Sifat Mujahadah (penentangan)

1. Pendidikan dari segi kemasyarakatan untuk si anak adalah penting dalam mendidik anak-anak, hendaklah kita selalu memerhatikan pada diri anak itu tentang cara-cara dia menjalinkan hubungan persahabatan dengan orang lain. Bagaimana sikapnya bila berhadapan dengan masalah lawan yang negatif, sama ada kawan, adik-beradik, gurunya atau kita sendiri sebagai ibubapa.

Wajiblah kita menerangkan tentang sifat cela yang ada pada kawan atau lawannya, terangkan tentang kesudahan perlakuan tersebut walaupun dalam usia yang masih kecil, terangkan dengan menggunakan daya kretif kita sendiri, bukanlah dengan mengajar anak supaya membalas kembali kerana dengan cara yang demikian akan meninggalkan kesan yang kurang baik dimasa hadapan, anak akan menjadi seorang pendendam, dan selalu berfikir kebenaran itu adalah dengan membalas kembali kelakuan cela tersebut.

Ajarlah anak kita dengan sikap tidak bergantung pada orang lain, perhatikan dari jauh apa perlakuan anak kita apabila berhadapan dengan lawan yang mempunyai sifat cela, dari situ kita rasa betapa sifat terpuji yang ada pada anak kita itu akan meninggalkan kesan pada ibubapa lawannya, beliau sendiri sebagai ibubapa akan merasa malu dengan sikap anaknya dan belajar dari kesilapan tersebut, jadi tak perlulah kita tanamkan sifat marah dan berdendam dan wajarlah si anak itu diteruskan dengan sifat beralah, mengalah bukanlah bermakna kita kalah. Tanamkan sifat tidak suka marah, memaafkan dan dari situlah sebenarnya kita mengajar anak kita belajar dari sifat menahan marah, itulah sifat terpuji yang ada pada junjungan kita nabi Muhammad SAW. Biasakanlah anak kita supaya dapat menahan marah ketika dia marah.

Sekali lagi saya ingin katakan teruskanlah mengajar anak tersebut dengan sifat yang baik, berikan pemerhatian pada setiap perlakuannya, mendengar dan melihat setiap tutur lakunya dari jauh antara dia dan lawannya, dan kemudian terangkan padanya jika perbuatan lawan adalah tidak baik dihadapan lawannya, tujuan kita adalah untuk memberi pendidikan pada anak bukan untuk mengajar anak kita bahawa dia adalah benar dan lawannya adalah salah, jika kita sentiasa berada dipehaknya, kelak dia akan sentiasa merasa dirinya betul disuatu ketika yang lain pula. Maka terangkanlah pada kedua belah pehak.

Sifat Nafsi ( Kejiwaan)

2. Hendaklah kita memerhatikan pada diri si anak tentang perasaan mulianya terhadap orang lain. Jika didapati suka mementingkan dirinya, hendaklah kita membimbingnya supaya melebihkan orang lain. Jika didapati anak itu suka membenci orang, hendaklah kita tanamkan didalam dirinya sifat menerima. Janganlah diajar sifat-sifat perkauman pada si anak, sifat siapa pandai, siapa bodoh, siapa cantik dan siapa hodoh. Ingatkanlah selalu padanya bahawa segala cacat cela seseorang itu bukan dari kehendak mereka, dan bukanlah disengajakan. Ajarkan sifat redha dalam diri anak kita. Jika didapati anak itu ditimpa bencana atau sesuatu yang dibencinya atau penyakit, haruslah ditanamkan kedalam jiwanya dan hatinya kepercayaan kepada redha dan qadha dan qadar. Hendaklah kita sebagai pendidik ini menimbulkan perasaan bersih dalam jiwa anak-anak itu perasaan kasih , melebihkan orang lain, mencintainya, berbelas-kasihan serta membersihkan hatinya dari sifat sombong dan iri hati.

Sifat Ruhi ( Kerohanian)

3. Ingatkanlah selalu pada anak-anak kita tentang kebesaran Allah sejak ia masih kecil lagi, perhatikan perlakuan anak dari segi hal-hal kebesaran Allah, mengingatkannya selalu bahwa, Allah SWT itu mendengarnya dan melihatnya, mengetahui segala rahsianya, yang tersembunyi dan yang akan datang. Terangkan pada anak bahawa Allah mengetahui tentang pengkhianatan mata iaitu apa yang anak lakukan dari luar pengetahuan kita, dan apa yang disembunyikan dari kita. Terangkanlah selalu bahawa Allah melihat dari segala penjuru dari langit hingga ke bumi. Hanya dengan itu anak akan merasakan dirinya terkawal ketika dia melakukan sesuatu kebaikkan atau keburukan, merasakan dirinya terkawal apabila dia berfikir. Bahkan dia akan belajar mengawal dirinya dari kemungkaran bila dewasa kelak. Bukakan pintu hati anak kita mengenal keagungan Allah meliputi
yang kecil dan besar, yang beku dan yang hidup, pada kejadian tumbuh-tumbuhan, pohon-pohonan yang cantik, bunga-bunga yang indah, manusia yang berbagai-bagai rupa dan jenis, segalanya yang ajaib itu adalah dari Allah. Itulah yang akan mengajar anak kita dan mengukuhkan sifat-sifat takwa didalam jiwanya sejak dari kecil lagi. Mengajar mereka supaya sentiasa berterima kasih pada maha Pencipta, merasa takut dan sentiasa mendekatkan diri pada Allah dan merasa rendah diri disisi Allah.

Ketiga-tiga sifat ini jika ditanamkan dalam jiwa anak-anak kita InshaAllah dia akan menjadi manusia yang lurus, seorang yang berakal dan bijaksana dalam bertindak sesuatu. Bahkan akan sentiasa mendapat penghormatan didalam hati dan mempunyai kemuliaan dan kebesaran didalam jiwanya. InshaAllah.

5 perkara yang penting telah saya kongsikan bersama.

Pada pendapat saya lima perkara didalam mendidik anak ini adalah penting, bagi yang telah lupa lima perkara tersebut adalah:

(1) Mendidik dengan cara menunjuk contoh tauladan.

(2) Mendidik dengan adat kebiasaan atau adat melayu lama.

(3) Mendidik dengan nasihat dan bimbingan.

(4) Mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan.

(5) Mendidik dengan denda dan hukuman.

Saya telahpun huraikan lima perkara diatas didalam Melentur Buluh 14. Doakan semuga saya diberi kelapangan untuk menghuraikan satu persatu lima perkara di atas ini dengan lebih detail. InshaAllah.

Perkara penting didalam mendidik anak adalah mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan. Didalam pemerhatian dan pengawasan saya detailkan lagi kepada Pemerhatian Jasmani, Pemerhatian dalam kemasyarakatan, dan Pemerhatian dari segi rohani.

No comments:

Post a Comment