Friday, November 21, 2008

sambungan mendidik anak

Perkara penting didalam mendidik anak adalah mendidik dengan pemerhatian dan pengawasan. Didalam pemerhatian dan pengawasan saya detailkan lagi kepada Pemerhatian Jasmani, Pemerhatian dalam kemasyarakatan, dan Pemerhatian dari segi rohani.

Pemerhatian dari Segi Jasmani

1. Sebagai ibubapa berilah perhatian pada si anak didalam segi nafkah yang wajib ke atasnya, seperti memberi makan yang baik, tempat tinggal yang selesa, pakaian yang sesuai, supaya si anak terpelihara dari berbagai-bagai bahaya dan dihinggapi penyakit dan wabak.

Kita sebagai pendidik harus tahu tentang hal makan minum dan tidur dalam kehidupan Islam.

Dari segi makanan, wajiblah kita perhatikan si anak memakan makanan yang berkhasiat dari minuman pula , perhatikan supaya si anak minum dua teguk dua teguk atau tiga teguk , melarangnya dari bernafas didalam bekas atau gelas ketika minum, dan melarangnya dari minum berdiri.

Dari segi tidur pula, hendaklah kita memerhatikan supaya si anak itu tidur mengiring ke kanan dan jangan membiarkan anak tidur sebaik-baik saja baru selesai dari makan.

2. Memerhatikan anak cara-cara pemeliharaan diri untuk menjaga kesihatan si anak, iaitu dengan membimbingnya supaya tidak memakan buah-buahan yang muda, memakan sayur-sayuran sebelum dicuci terlebih dahulu, ajarkan supaya si anak membasuh kedua tangan sebelum memulakan makan, tidak meniup-niup makanan di dalam pinggan.

3. Didiklah anak dengan kebiasaan bersenam dan berolaraga , bermain permainan yang membina ketangkasannya, membiasakan hidup sederhana, hidup suka berusaha dan rajin, berani, tidak terlalu tenggelam didalam kemewahan, supaya anak-anak kita kuat jasmaninya, kuat kemahuannya dan kuat semangatnya dan juga perasaannya.

Pemerhatiannya dari segi kejiwaan

1. Ibubapa yang dikasihi, pernahkah kita perhatikan pada diri anak-anak kita tentang tabiat anak kita? Jika didapati anak itu bersifat pengecut, takut atau tidak berani menghadapi sesuatu sendirian, tidak berani menghadapi cabaran, lari daripada tanggungjawab, maka wajiblah kita menambah semangatnya dari segi kepercayaan kepada diri sendiri, tidak gentar menghadapi cabaran hidup, tiupkanlah api semangat pada jiwa anak itu selalu sehingga si anak mampu menghadapi kehidupan untuk mengatasi segala macam problemnya.

Dalam hal seperti ini terlebih dahulu khususnya ibu yang sentiasa berada disisi anak sejak dari kecil lagi, janganlah menakut-nakutkan anaknya dengan bayang-bayangan, atau keadaan gelap, memomok-momokkan si anak dengan perkataan hantu, jin atau apa sahaja yang bertujuan untuk menakutkan anak, dan kelak anak akan terbiasa dengan sifat takut yang mana akan menjadi lebih buruk dan inilah yang membayangi mereka sehingga anak menjadi dewasa.

2. Pernahkah kita perhatikan anak tentang sifat merasakan dirinya serba kurang?
Jika ada ibubapa yang menghadapi masalah anak seperti ini, maka hendaklah dia segera memulihkan denga bijaksana dan nasihat-nasihat yang baik, serta cuba bersama anak apabila si anak menunjukkan sikap bermuram dan carilah sebab musabab kenapa si anak berperasaan demikian. Sifat yang demikian sebenarnya berasal dari sifat rendah diri dan kehinaan. Maka wajiblah kita menggunakan perkataan yang baik , bercakap dengan bahasa yang manis ketika memanggilnya atau berbual dengan anak tersebut.

Selalunya sifat tersebut berpunca kerana keyatiman atau ujudnya penceraian antara ibubapa. Untuk itu kita hendaklah menimbulkan didalam jiwa anak itu semangat sabar, bertahan, menggantungkan harapan pada diri sendiri. Tetapi ada juga sebabnya berpunca dari perasaan dengki dan irihati, ini adalah penyakit yang paling saya takuti dalam hidup saya, maka untuk memulihkan dari sifat ini, tunjukkanlah sifat cinta dan kasih sayang kita pada anak-anak dengan adil tanpa membezakan yang perempuan atau lelaki.

3. Pernahkah kita perhatikan anak kita yang mempunyai sifat lekas marah? Atau panas baran? Menurut kajian, sifat ini bermula dari anak usia bayi lagi. Kenapa saya katakan demikian? Anak kecil selalunya menangis kerana sesuatu sebab, kita sebagai orang dewasa telah sedia maklum kenapa anak itu menangis, kerana itu ada ibu hanya membiarkan sahaja dan menangguhkan dengan membuat kerja lain dahulu dan membiarkan untuk memujuk anak yang mungkin lapar atau tidak selesa untuk ditukar lampin basahnya. Pernahkah kita terfikir dari sikap kita itulah yang membentuk anak kita sejak dari bayi lagi menjadi seorang yang lekas marah atau pemarah?

Ada juga sifat marah itu berpunca dari kemanjaan dan kemewahan hidup, sifat marah ini boleh dibaiki dengan membiarkan anak dengan perlakuan biasa serta membiasakan si anak dengan hidup sederhana.

Pemerhatian anak dari dalam kehidupan bermasyarakat.

Pernah tak kita terfikir tentang percampuran anak-anak kita didalam masyarakat? Pernahkah kita perhatikan apa yang dibaca oleh anak-anak kita dari buku-buku, majalah-majalah, sebaran-sebaran umum. Dan seperti apa yang Adinura kaitkan Memiliki TV dirumah seumpama membiarkan anak-anak anda bermain di jalanan setiap hari baik siang mahupun malam dengan sesiapa sahaja. Yang melekakan itulah yang paling disukai termasuk kita sendiri, saya sendiri cuba untuk mengelakkan anak-anak dari TV memang sukar.! (lepas ni kena mintak petua dari Adinura) Cubalah buat sesuatu untuk luangkan masa anak-anak dari menonton TV, tak dapat tidak hadkan waktu mereka untuk menonton, banyak tugasan yang kita berikan maka kuranglah masa untuk mereka menonton TV, waktu sebelum solat magrib, ajarlah anak-anak kita hormat waktu-waktu yang dekat dengan waktu solat, jika selalunya jam 7.15 waktu solat magrib biasakan anak-anak bersiap sedia sebelumnya, membersihkan diri dan jangan sekali-kali biarkan anak-anak menonton waktu-waktu sedemikian. Saya pernah melihat ada setengah ibubapa yang tidak mengambil endah waktu-waktu sebegini, mereka juga turut bersama anak-anak menonton tv diwaktu orang melaungkan azan solat magrib.

Apa yang hendak saya katakan disini adalah berkenaan kehidupan anak-anak didalam masyarakat. Berjayakah kita sebagai ibubapa mengawal kehidupan anak kita dan membimbing mereka menghadapi masyarakat apabila mereka keluar dan menghadapi dunia luar.? Cara percampuran dengan rakan-rakan adalah salah satu kehidupan mereka dengan masyarakat, pertuturan, dan gaya berpakaian juga adalah kesan percampuran dengan masyarakat. Dari sini kitalah yang perlu tahu iaitu dengan siapa mereka berkawan dan siapa ibubapa kawan-kawan mereka. Bukanlah saya suruh selidik latar belakang keluarga rakan anak kita, kaya ke miskin ke, anak dato ke, tetapi selidiklah akhlak rakan anak kita tersebut.

Di antara pemerhatian dalam segi kemasyarakatan ini, kita sebagai ibubapa harus memerhatikan pada diri anak kita tentang :

1) Tanggungjawabnya terhadap dirinya sendiri

2) Tanggungjawabnya terhadap ibubapanya.

3) Tanggungjawabnya terhadap adik-beradiknya, kaum kerabatnya.

4) Tanggungjawabnya terhadap jirannya.

5) Tanggungjawab terhadap gurunya.

6) Tanggungjawab terhadap orang yang lebih tua didalam masyarakatnya.

Kesimpulan tanggungjawab ini adalah, Adakah kita ajarkan anak-anak kita tentang saling menghormati, saling menghargai hak dan tanggungjawab itu didalam kehidupan anak-anak kita dimasa ini? Tentu ada segelintir ibubapa hanya mengharap pelajaran moral disekolah atau didikan ini tidak perlu diajar. Sejak dari kecil lagi didikan ini haruslah dimulakan. Wajiblah kita sebagai pendidik untuk anak-anak kita, menerangkan tentang kecelaan sifat cuai terhadap tanggungjawab tersebut, dan jangan lupa terangkanlah kesudahannya juga.

No comments:

Post a Comment