Friday, November 14, 2008

sambungan Mendidik anak ...

Jangan Membiasakan Anak Menggunakan Tangan Kiri Untuk Makan Minum Memberi Dan Mengambil .

Apa yang harus di ingatkan ialah ibubapa hendaknya berhati-hati dalam hal makan, minum, memberi dan mengambil sesuatu. Sebab perkara ini mesti berlaku di dalam kehidupan sehari-hari kita. Ada satu peribahasa yang baik bagi ingatan kepada ibubapa iaitu: "Bapa kencing
berdiri- anak kencing berlari". Kalaupun diluar pengetahuan anak, "Bapa kencing berdiri", maka diluar pengetahuan bapa pun, "Anak akan kencing berlari".

Harap anda sekelian faham apa yang ingin Ezzah sampaikan melalui peribahasa ini. Oleh yang demikian, dalam hal makan dan minum, biasakan dengan cara yang sopan, baik dihadapan anak-anak ataupun di luar pengetahuan anak-anak. Duduklah dengan tertib sebaik menghadap kiblat, baca Bismillah dan seterusnya doa hendak makan dan barulah makan dengan senyap (iaitu tiada percakapan atau kurangkan bercakap-cakap). Ambillah makanan atau lauk yang terdekat dengan kita. Jika harus bercakap, maka percakapannya itu terbatas dan yang menghiburkan sahaja. Terdapat hadis yang melarang kita menggunakan tangan kiri: Diriwayatkan oleh Muslim, Malik, Abu Daud dan Tirmidzi dari Abdullah bin Umar, Nabi bersabda yang bermaksud:

"Janganlah sekali-kali seorang dari kamu makan minum dengan tangan kirinya kerana syaitan makan dan minum dengan tangan kirinya".

Pada riwayat lainnya ditambahkan:

"Dan janganlah pula mengambil dan memberi dengan tangan kiri".

Dari hadis-hadis tersebut diatas tadi, jelaslah bahawa kesopanan dalam makan, minum, mengambil dan menerima, memainkan peranan penting pada pembentukkan diri yang baik terhadap anak-anak.

Kaedah orang tua menundukkan hati anak

Bab hari ini saya ingin membawa pembaca kepada petua menundukkan hati anak yang terlalu degil. Kaedah yang diamalkan oleh orang tua-tua kita dahulu bagi mengatasi kedegilan dan kenakalan anak yang sudah melampau adalah seperti berikut. Jika pembaca benar-benar telah putus harapan untuk mengatasi kedegilan anak cubalah berusaha dengan cara ini, cubalah luangkan masa jika benar-benar ingin melakukannya.

Petua-nya ialah:
Bapa yang ketika berada di dalam masjid bagi menunggu solat Jumaat pada masa itu sedang muadzin melaungkan azan dan iqamat. Di antara kedua azan tersebut itu, hendaknya membaca 35 kali:

"Ahmad Rasulullah Muhammad Rasulullah"

Selepas solat selesai tidak terus pulang tetapi carilah 40 orang miskin yang diberikan kepadanya sedekah dan harus selesai sebelum Asar. Kemudian setelah selesai kembali ke rumah. Selepas mandi dan ambil air wuduk kemudian solat dua rakaat sunat sebelum Asar. Selepas itu duduk diam tafakur sambil baca ayat kursi 17 kali.

Dalam masa membaca ayat kursi itu selitkan satu permohonan kepada Allah swt.agar anak diberi lunak hati dan mahu mendengar cakap serta taat kepada orang tua. Permohonan tersebut di baca didalam hati ketika mana datang isyarat suatu perasaan yang lazat dan ketenangan di dalam hati bersamaan masa sedang membaca ayat kursi. Insha-Allah dengan izinNya jua anak akan berubah menjadi anak yang baik tingkah lakunya. Setelah selesai, barulah solat Asar.

Sebenarnya inilah rahsia segala rahsia, petua yang diamalkan pada hari Jumaat itu tadi memang amat berkesan. Satu dari sebabnya mungkin disebabkan ada di antara orang-orang fakir miskin yang ketika itu sangat-sangat gembira ketika menerima pemberian sedekah dan ketika itu juga bersyukur pada Allah swt dan disaat-saat itulah Allah swt mengabulkan permohonan hambaNya yang telah menggembirakan kaum fakir miskin yang disebutkan itu.

Orang tua dahulu mudah mengatasi kedegilan anak - rahsianya pada kain baju anak.

Satu lagi petua orang tua dahulu untuk mengatasi kedegilan dan kenakalan anak adalah dengan cara tertentu yang dikenal dengan nama "dikancing" ada juga yang menyebut "dipulut". Janganlah pembaca terkejut bila mendengar perkataan dikancing, cara ini adalah merupakan adat turun temurun terpulang kepada mereka yang mempercayainya. Namun kaedah ini sungguh mujarab tetapi hari ini sudah hampir tidak lagi diamalkan. Amalan ini sangat bergantung pada keyakinan kita. Kalau yakin maka jadilah apa yang diingini. Kalau tidak yakin memang tidak kesampaian apa yang diingini.

Petua-nya ialah:

Masa anak tidur ambil baju ayah yang dipakai hari itu jadikan sebagai kain selimut si anak.

Demikian terus menerus dilakukan. Pantangnya ialah si ayah jangan makan atau minum dengan pinggan atau gelas yang pernah digunakan anak itu. Petua diatas juga sangat elok untuk menyembuhkan kerinduan anak pada ayah yang berjauhan. Sebab adakalanya anak sakit tanpa sebab dan tidak dapat diketahui sakitnya apabila ayah berjauhan. Inilah petua orang dahulu yang masa ini sudah pupus. Tetapi saya masih mengamalkannya.

Sesungguhnya semua sedia maklum anak adalah amanah Allah swt pada kita. Saya ingin kongsi bersama amalan dibawah ini, supaya kita dapat bersama-sama membina minda anak kita menjadi anak yang soleh dan solehah.

1) Ajarlah anak anda membaca Al-Quran, kenalkan dengan ayat-ayat Allah dan maknanya sekali sewaktu ia berusia 7 tahun.

2) Janganlah takutkan anak anda dengan sesuatu, seperti kegelapan, dan jangan menakut-nakut mereka dengan benda-benda yang mereka sendiri tidak tahu, seperti perkataan hantu, atau memomok-momokkan mereka. Apabila anak diajar dengan sifat begini apabila dewasa kelak akan menjadi seorang yang penakut, sesungguhnya kubur juga adalah tempat yang gelap, dan semua orang akan menghampirinya., dan janganlah sesekali menakut-nakutkan anak anda dengan kegelapan.

3) Bawalah bersama anak untuk menziarahi orang sakit, bersama-sama mereka ketika menziarahi kubur sanak-saudara, melawat orang mati, atau majlis-majlis tahlill. Dengan cara ini anak akan menjadi biasa dengan perkara tersebut, ketika dewasa beliau telah lali dan tidak takut dengan perkataan mati atau takut menziarahi orang mati.Anak anda juga akan menjadi anak yang berani inshallah

Petua ini jika di amalkan dengan niat yang ikhlas agar Allah swt membalasnya dengan suatu kebaikan pada anaknya, salah satu mendidik anak ialah membawanya ketika melihat sahabat yang sedang sakit, doa orang yang sakit itu Inshallah akan dimakbulkanNya. Cukuplah dengan memegang kepada si anak dan dengan Ikhlas hamba Allah yang sakit tersebut merasa sungguh gembira dengan kedatangan kita dan dengan ikhlasnya mendoakan untuk anak kita tanpa diminta.

Itulah sebabnya seorang muslim yang sihat digesa sangat-sangat mengunjungi saudaranya seagama yang sedang sakit, rahsia hikmatnya kerana disaat itulah doa orang yang sakit itu amat mustajab, seperti dinyatakan di atas tadi.

4) Ajarlah anak anda berwuduk sebelum tidur kelak akan menjadi kebiasaan pada dirinya sehingga dewasa sentiasa dalam keadaan bersih dan berwuduk. Cara tidur juga penting supaya anak tidur didalam mengadap ke kiblat, dan jika anak masih bayi maka ibubapa seharusnya akan menghadapkan mukanya ke kiblat. Ini mesti dijaga , walaupun kelihatan sesuatu yang ringan tetapi mengandungi rahsia yang mendalam apabila anak tersebut dewasa. Menurut penelitian orang tua-tua dahulu anak kecil yang biasa tidurnya itu membelakangi kiblat ternyata bila dewasa anak itu akan jauh dari agama dan akan mempersendakan.

5) Ajarlah anak anda bagaimana membuang air kecil dengan sempurna, tidak kesenonohan membuang air kecil akan menjadikan sikap kebinatangan melekat perlahan-lahan di hati anak.
Ketika anak pandai membuang air kecil dan membersihkannya sendiri, sebagai ibubapa jagalah beberapa perkara ini:

a.) Jangan kencing berdiri
b.) Jangan kencing sehingga memercik kembali pada pakaian atau tubuh anggota badan.
c.) Jangan kencing pada takungan air.
d.) Jangan kencing di tempat lubang haiwan kecil tinggal.
e.) Jangan kencing di jalanan.
f.) Jangan kencing di dinding masjid.
g.) Jangan kencing di tempat orang beristirehat dan di perkuburan.
h.) Jangan kencing pada sekitar pohon-pohonan.
i.) Jangan kencing disekitar kawasan rumah
j.) Ketika masuk tandas/bilik air, dahulukan kaki kiri, dan ketika membuang air
kecil ajarlah anak bertinggung.

Adat membuang air kecil dan air besar,:

Dikehendaki menjongkokkan badan kesebelah kiri kemudian bersuci dan keluar dari bilik air setelah bersuci dengan mendahulukan kaki kanan.

k.) Jangan sekali-kali meninggalkan "bersuci" selepas kencing, ajarlah pada anak sejak kecil-kecil lagi kerana ianya kunci kebersihan zahir yang mempengaruhi kebersihan batin.

Kebaikannya yang paling besar ialah kelak apabila anak sudah dewasa Insya Allah akan dapat menjaga farajnya (alat kelamin) dan tidak mudah digoda oleh bisikan hawa nafsu syaitan. Inilah yang tersirat.

6) Ajarlah anak supaya sentiasa bersyukur atas segala nikmat Allah swt didunia ini. Amat sedikit orang-orang yang bersyukur pada hari ini, oleh yang demikian wajiblah kita ajarkan tentang rasa syukur dengan penuh keikhlasan terhadap apa yang diberikan kepada kita. Jika benar-benar rasa syukur , maka akan merasa ringan bila menghadapi segala masalah yang menimpa.Malah dengan banyak bersyukur maka segala masalah hidup termasuk menghadapi kedegilan anak-anak itu akan mudah mendapat pertolongan dari Allah swt. Banyak bersyukur juga merupakan
amalan yang akan memudahkan terbukanya pintu rezeki.

No comments:

Post a Comment