Friday, November 14, 2008

sambungan mendidik anak

BAJU ANAK DAN RAHSIANYA.

Mengikut adat resam masyarakat Melayu lama antara baju dan anak mempunyai hubungan amat rapat. Biasanya apabila orang tua membelikan baju tidak terus dipakaikan pada si anak. Tiap-tiap baju yang yang baru dibeli untuk anaknya itu di cuci terlebih dahulu dan setelah selesai dicuci, dijemur di tempat yang teduh atau didalam rumah. Pada hari ini adat semacam ini sudah lama luput, namun setengah masyarakat Melayu Jawa masih terus mengamalkannya, bertujuan agar anak tersebut sejuk hati dan mengikuti arahan-arahan yang diberikan orang tuanya.

Ada satu kepercayaan orang tua-tua dahulu , tidak mahu bahkan pantang melintasi tali ampaian dimana tempat tersidainya baju anak-anak. Kononnya anak itu kelak bila dewasa akan berani menentang orang tuanya. Wallahhu'alam.

Demikian pula cara memakaikan baju pada anak, Anak dihadapkan ke kiblat (kalau masih kecil berdiri mengadap kiblat) kemudian memakaikan seluar dahulu pada kaki kanan kemudian kaki kiri. Diikuti memakai bajunya bermula dari tangan kanan kemudian kiri. Yang paling penting masa mengancingkan butang baju dengan membaca : "Bismillahi Allah Hu Akbar" sehingga terkancing semuanya. Dengan demikian niat mudah-mudahan anak ini terkunci dari gangguan jin yang jahat. Jika diamalkan khasnya oleh ibubapa terhadap anaknya sejak masih bayi lagi, sehingga menjadi amalan yang sebati sesungguhnya Allah akan memenuhi permintaannya . Insha Allah.

Orang tua-tua zaman dahulu tidak memanjakan anak cucunya.

Pada hari ini banyak ibubapa yang terlalu memanjakan anak, itu tidak ubahnya seperti memberi madu tetapi sebenarnya racun. Dikatakan racun kerana sikap ibubapa itself dapat membunuh sikap-sikap baik yang lahir dari si anak seperti;

(1) Sikap percaya diri sendiri
(2) Sikap mahu berusaha sendiri
(3) Sikap berani kerana benar
(4) Sikap tanggungjawap

JIka keempat sikap ini tiada, keadaan dalam diri si anak bersifat pasif yang kemudiannya segala-galanya bergantung harapan kepada kedua ibubapanya. Sebab itulah benar apabila dinyatakan bahawa masalah memanjakan anak merupakan kesilapan besar dalam mendidik anak.
Kajian mendapati bahawa orang tua-tua dahulu berjaya dalam mendidik anak cucu kerana kunci utamanya ialah "tidak memanjakan anak".

Rasulullah saw. bersabda: "Ajarilah anak-anakmu berenang".

Dalam hadis tersebut tersirat suatu hikmah disamping anak itu mendapat kesihatan yang baik dari aktiviti berenang, namun yang lebih utama ialah untuk mendorong mereka belajar berdiri di atas kaki sendiri. Dalam ertikata lain belajar tidak bergantung pada ibubapanya ataupun pada orang lain. Ibarat kita membiarkan anak didalam air dan biarkan ia sendiri berusaha untuk mengapongkan dirinya supaya tidak tertelan air. Tersirat sesuatu yang unik untuk difikirkan didalam erti kata belajar berenang ini, hanya dengan belajar berenang sahaja kita dapat menilai sedalamnya maksud belajar berenang dan kaitannya dengan belajar berdiri di atas kaki sendiri.

Kita sering melihat seorang anak yang masih kecil didudukkan diatas bahagian leher belakang (tengkuk) ayahnya, sambil dipegang kedua tangan si anak itu oleh ayahnya. Kononnya ayah itu hendak menunjukkan kesayangannya pada anaknya itu. Bagi orang-orang dahulu perbuatan ayah memanjakan anak seperti yang digambarkan di atas tadi merupakan pantang larang yang amat sangat. Memanjakan anak sehingga berlebihan membawa kesan buruk pada si anak itu sendiri dan jelas kelihatan ketika anak itu meningkat dewasa.

Kesan dari perbuatan tersebut dipercayai oleh orang tua-tua dahulu apabila dewasa anak itu tidak akan mendengar kata dan mentaati perintah ibubapanya, bahkan umpama memijak kepala ibubapa seperti terdapat didalam pepatah melayu.

Satu lagi pantangan orang-orang tua dahulu ialah menggunakan pinggan yang sama digunakan untuk makan nasi si ayah juga digunakan oleh anaknya. Begitu juga dengan bekas minumannya. Kesan dari sikap ini dipercayai akan menyebabkan anak tidak mendengar kata dan merasa tidak hormat kepada orang tuanya. Orang-orang dahulu sangat memperhatikan masalah pinggan mangkuk dan gelas yang biasa digunakan oleh mereka sebagai larangan didalam rumahnya. Mereka tidak mahu bahkan melarang pinggan atau gelasnya yang biasa digunakan itu digunakan juga oleh anak cucunya untuk makan minum.

Mengikut kajian dan penelitian saya, amalan menggunakan pinggan mangkuk dan gelas mengikut pemiliknya masing-masing merupakan amalan yang hampir dikatakan "wajib" oleh orang-orang dahulu dan hari ini masih menjadi amalan dari keturunan raja-raja dan keturunan ternama.

Apa yang menjadi bukti ialah anak cucu mereka merasa takut dan mentaati perintah kedua orang tuanya. Bukti ini dapat dilihat sendiri dari keluarga diRaja dan kerap didengar dari mulut ke mulut.

Malah adakalanya kita mendengar seorang yang sudah berumur bercerita, "Dahulu kami takut pada Ayah! Jangankan merokok dihadapannya, melintas dihadapannya pun tidak berani. Budak-budak sekarang lain pula halnya. Terbalik, orang tua pula menjadi takut pada anak-anaknya."
Ungkapan-ungkapan yang senada dengan ini banyak sekali dan kerap kita mendengarnya sendiri. Demikian yang tersirat adanya dari amalan yang menjadi sebati setiap hari oleh orang-orang dahulu. Sebab itulah ada setengah-setengah orang tua yant tidak mahu makan di luar (iaitu di kedai-kedai makan). Wallahhu'alam.

Salah satu lagi pantang larang orang dahulu ialah apabila anak-anak cucunya membuang tulang ayam atau tulang apa pun (selepas memakan dagingnya) di merata-rata tempat atau di tempat yang kotor.

Menurut penelitian adat orang-orang lama di dalam masyarakat Melayu sebenarnya ada kaitannya dengan perintah larangan yang disabdakan oleh junjungan kita Rasulullah SAW. di mana baginda bersabda bahawa sesungguhnya tulang-tulang yang dibuang itu menjadi daging bagi para jin. Mereka saling berebut-rebut mendapatkannya sebagai rezeki makanan yang berupa daging-daging baginya.

Jika kebetulan tulang itu dibuang di tempat yang kotor kemudian para jin ini mendapatkannya dan marah, maka akan berakibat buruk pada si anak. Boleh jadi anak akan menjadi bebal, degil dan tidak mahu mentaati perintah ibubapanya. Boleh jadi perkara yang lainnya seperti sakit yang sukar diubati dan sebagainya.

Sebab itulah masyarakat zaman dahulu (orang tua-tua) sentiasa mengingatkan kepada anak cucunya agar tulang-tulang dari sisa daging-daging yang dimakan itu dikumpulkan disatu tempat khusus dan setelah itu di buang di tempat yang disediakan.

bersambung.....

No comments:

Post a Comment